IBEC 2018 Sasar BELIA Ceburi Perniagaan Baharu

  Date Posted: 12 Oct 2018, Friday

SERTAI KAMI: Abang Abdul Karim (tengah) diapit (dari kiri) Dominic, Gracie, dan Goh bersama-sama menunjukkan risalah SIBEC 2018 yang akan berlangsung pada 12 dan 13 Oktober ini.

KUCHING: Persidangan dan Pameran Perniagaan Antarabangsa Sarawak (SIBEC) 2018 menyasarkan golongan belia menceburi perniagaan baharu iaitu ekonomi digital.

Menurut Presiden Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) Datuk Abang Abdul Karim Tun Openg platform berkenaan boleh digunakan golongan tersebut untuk pelbagai tujuan dalam bidang perniagaan.

“SIBEC 2018 boleh digunakan untuk memperkembangkan rangkaian perniagaan dan bertemu dengan pemain industri.

“Selain mendengar ceramah berkaitan pengalaman dan hala tuju pelbagai topik perniagaan yang menarik.

“Menerusinya juga ia berupaya memberi peluang kepada pelabur mencari peluang dalam industri berpotensi di Sarawak untuk pelaburan,” katanya pada sidang media SIBEC 2018 di sini semalam.

Lebih 400 delegasi dan 60 organisasi pempamer sudah menghantar penyertaan untuk menyertai SIBEC 2018.

SIBEC membariskan lebih daripada 20 penceramah tempatan dan antarabangsa yang terkenal dari China, Filipina, Perancis, Taiwan, Singapura, Australia dan Malaysia.

Mereka yang ternama seperti Hugh Mason, penceramah pelaburan ternama dari Singapura, Xavier Eric Manalastas (Filipina), Harnek Singh (Singapura), Leo Li dari Shenzen, China, Foo Kok Hee dari Singapura adalah antaranya.

Persidangan SIBEC 2018 akan diadakan pada 12 dan 13 Oktober di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dan dirasmikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Ia merupakan acara yang julung kali diadakan bertemakan ‘Digital Technology Drive Business’ anjuran SBF dan mendapat sokongan daripada Kerajaan Sarawak yang akan turut menampilkan ucapan bertajuk ‘Visi 2030 Untuk Sarawak’ oleh Ketua Menteri, ujarnya.

Untuk keterangan lebih lanjut, sila layari www.sibec2018.org atau menerusi talian 082-555189 (Eleo).

Turut hadir Timbalan Presiden SBF dan Pengerusi Penganjur SIBEC 2018 Datuk Philip Ting, Timbalan Pengerusi Penganjur SIBEC 2018 Gracie Geikie dan exco Dewan Perdagangan dan Industri Sarawak (SCCI) Goh Yong Tat serta Dominic Chuo.

LOCATE US